Kemahiran menerangkan

Standard

Pendahuluan

pengajaran mikro merupakan satu teknik pengajaran untuk meningkatkan kemahiran pengajaran guru dalam aspek-aspek tertentu seperti set induksi atau motivasi,penyoalan,variasi rangsangan ,penggunaan papan kapur, alat bantuan mengajar,pengukuhan ,penutup dan lain-lain.Di dalam pengajaran mikro, salah satu komponennya adalah kemahiran menerangkan.

Kemahiran menerangkan ini selalunya disusuli selepas melakukan set induksi dalam pengajaran mikro. Set induksi merupakan suatu proses yang diperkenalkan pada permulaan pengajaran dengan tujuan untuk menarik perhatian serta mendorongkan pembelajaran.

Set induksi digunakan ketika menukarkan topik pelajaran kepada topik yang baru dan kemudian diikuti dengan menerangkan pelajaran sebagai permulaan kepada pengajaran dan pembelajaran. Dalam pengajaran dan pembelajaran, penerangan selalunya digunakan guru pada menerangkan berlakunya sesuatu kejadian atau fenomena atau menyediakan langkah – langkah untuk mencapai satu kesimpulan, menerangkan jawapan pada soalan yang diajukan pada murid – murid, memberikan proses, struktur dan prosedur, memperincikan maksud istilah atau kenyataan.


Kemahiran Menerangkan

Kemahiran menerangkan merupakan suatu kemahiran memberi kefahaman kepada pelajar.Keupayaan menyampaikan secara logik dan jelas penting bagi seseorang guru. Kebimbangan guru ialah cara yang terbaik memberi kefahaman kepada pelajar.

Kemahiran menerangkan selalunya digunakan untuk menyampaikan maklumat, konsep atau isi kandungan pelajaran kepada pelajar, biasanya dalam peringkat perkembangan. Semasa menggunakan kemahiran menerangkan, guru memberi penerangan tentang sesuatu isi pelajaran dengan menggunakan contoh, ilustrasi atau sumber pelajaran, misalnya:

        i.            Guru menerangkan pengertian najis serta memberikan beberapa contoh tentang najis.

      ii.            Guru menerangkan sambil mendemonstrasikan; contoh cara – cara berwudhu dengan betul.

    iii.            Guru menerangkan riwayat hidup dengan menggunakan gambar – gambar.

    iv.            Guru menerangkan dan menghuraikan isi pelajaran dengan merujukkan buku teks.

Dalam peringkat penerangan ini, guru juga boleh menggunakan papan tulis untuk menulis isi penting atau menggunakan slaid sebagai bahan bantu mengajar supaya pelajar boleh memahami dan merekodkannya dalam buku nota mereka.

 

Prinsip – prinsip kemahiran menerangkan

Untuk menggunakan kemahiran menerang dengan berkesan, guru hendaklah memahami dan mematuhi beberapa prinsip berikut:

a)      Perancangan untuk penerangan yang sesuai.

b)      Penyediaan contoh, ilustrasi dan bahan bantu.

c)      Jangka masa menerang yang sesuai.

d)     Pemeringkatan atau penyusunan idea.

e)      Penggunaan bahasa (istilah, perkataan dan ayat) yang sesuai.

f)       Daripada senang kepada mudah, daripada yang diketahui kepada yang belum diketahui.

g)      Berkait rapat dengan objektif.

h)      Respons para pelajar.


Perancangan bentuk penerangan yang sesuai

Dalam menyampaikan sesuatu isi pelajaran dengan berkesan, guru perlu membuat perancangan berkenaan bentuk penerangan yang sesuai dengan kebolehan pelajar iaitu sama ada berbentuk deskriptif (memberikan proses, struktur dan prosedur), interpretatif (memperincikan maksud istilah atau kenyataan), atau memberi sebab (memberi sebab berlakunya sesuatu fenomena, atau menyediakan langkah – langkah untuk mencapai satu kesimpulan).

Perancangan bentuk penerangan yang bijaksana akan menjamin kelicinan serta keberkesanan penyampaian sesuatu pelajaran. Strategi penerangan yang sesuai bukan saja dapat meningkatkan mutu penerangan guru malahan ia akan menjadikan satu – satu pelajaran itu bermakna serta menyeronokkan murid.

Penyediaan contoh, ilustrasi dan bahan bantu

Contoh, ilustrasi dan bahan bantu yang hendak digunakan mestilah disediakan terlebih dahulu agar ia berfungsi memudahkan pelajar memahami isi yang hendak disampaikan. Contoh – contoh haruslah mudah dan dekat dengan pelajar, daripada yang diketahui kepada yang belum diketahui. Ini akan menambahkan minat pelajar. Ilustrasi dan bahan bantu juga perlu bersifat membantu mudah menerangkan, bukannya menyukarkan pelajar.

Alat bantu mengajar yang digunakan untuk membantu guru menerangkan sesuatu isi pelajaran hendaklah sesuai serta diuruskan dengan teknik mengajar yang berkesan untuk mengekalkan konsentrasi dan minat pelajar dalam penerangan guru. Misalnya, guru menerangkan isi pelajaran dengan menggunakan kaedah demonstrasi yang melibatkan alat bantu mengajar seperti transparensi atau projektor.

Jangka masa menerang yang sesuai

Satu faktor penting dalam penerangan ialah penggunaan masa secara berkesan.Jangka masa yang diambil bagi menerangkan juga tidak perlu terlalu lama hingga akan membosankan pelajar. Jangka masa terlalu lama akan menyebabkan guru mengulang – ulang isi yang sama. Pelajar – pelajar akan merasa bosan jika mereka disuruh duduk diam untuk mendengan penerangan guru dalam tempoh masa yang lama. Keadaan akan menjadi lebih membosankan jika tiada penglibatan secara aktif. Jangka masa yang singkat pula memungkinkan guru tertinggal perkataan – perkataan yang penting.

Guru perlu mengagihkan masa mengikut setiap langkah pelajaran sebelum disampaikan. Cara ini dapat menjamin setiap aktiviti penerangan dalam pengajaran dan pembelajaran diberi masa yang sesuai.

Pemeringkatan atau penyusunan idea

Guru perlu memberi perhatian kepada pemeringkatan idea dan pemeringkatan masa. Peristiwa – peristiwa perlu dijelaskan mengikut kronologi yang betul dan peristiwa yang disebut dahulu perlu diterangkan dahulu.

Untuk mengekalkan minat pelajar terhadap penerangan guru, kemahiran varisai rangsangan hendaklah digunakan, terutama bagi penerangan yang memerlukan masa yang melebihi satu minit.

Penggunaan bahasa ( istilah, perkataan dan ayat) yang sesuai

Guru perlu menggunakan bahasa yang tepat, ringkas dan padat dan berdasarkan kebolehan pelajar. Istilah, perkataan dan ayat yang digunakan hendaklah sesuai dengan peringkat umur pelajar dan isi kandungan. Elakkan daripada menggunakan frasa yang kabur maknanya seperti ‘tidak sama sekali’, ‘tidak banyak’, ‘sebilangan besar’, dan ‘kemungkinan’. Ayat pula mestilah lengkap dan tidak tergantung supaya pelajar tidak berasa keliru.

Daripada senang kepada susah, daripada yang diketahui kepada yang belum diketahui.

Penerangan guru itu haruslah bermula bermula dengan perkara yang mudah yang ada dalam pengetahuan pelajar yang lepas,kemudian bergerak kepada yang semakin sukar dan yang diluar pengetahuan pelajar.

Topik yang disusun dengan teliti dapat menjamin kefahaman murid – murid.Hal ini perlu bagi memupuk dan mengekalkan perasaan ingin tahu pelajar dan supaya mereka dapat mengikutinya dengan mudah dan bermakna.

Berkait rapat dengan objektif

Secara amnya, objektif pelajaran boleh dianggap sebagai hasil perlakuan murid setelah mereka didedahkan kepada suatu proses pengajaran dan pembelajaran.Dengan adanya objektif pelajaran, guru boleh memilih sumber pelajaran serta isi pelajaran yang sesuai.

Jadinya, isi penerangan yang dibuat oleh guru perlu menepati objektif pelajaran yang ditetapkan oleh guru supaya guru tidak menerangkan apa – apa yang tidak diperlukan dan yang tidak berkaitan dengan isi pelajaran.

Respons daripada pelajar.

Seelok – eloknya penerangan guru juga melibatkan penyertaan atau respons daripada pelajar.Hal ini bagi memastikan tahap kefahaman pelajar dan kejayaan penerangan guru. Guru disarankan memberi peluang yang maksimum kepada pelajar menunjukkan kefahaman kendiri, sifat dan minat mereka.

Selepas aktiviti penerangan, guru hendaklah menggalakkan pelajar supaya bertanya mana – mana perkara yang mereka kurang faham.Selain itu, guru juga harus menggalakkan murid mengemukakan pendapat dan menerima pendapat murid dengan hati terbuka.Dengan itu, pengajaran guru akan menarik minat dan tumpuan mereka.

Objektif menggunakan kemahiran menerangkan

        i.            Menyampaikan maklumat atau menjelaskan isi pelajaran dalam masa yang singkat.

      ii.            Memudahkan pelajar memahami konsep atau isi pelajarandengan jelas.

    iii.            Menghuraikan sesuatu proses atau prosedur seperti langkah – langkah menjalankan satu ujikaji atau menyelesaikan masalah. 

  iv.            Menjelaskan sebab – sebab berlakunya sesuatu peristiwa atau meramalkan kemungkinan berlakunya peristiwa tertentu.

 

Komponen –  komponen kemahiran menerangkan

Kemahiran menerangkan mempunyai empat komponen utama iaitu: komponen aras permulaan (permulaan penerangan), komponen kemahiran ilustrasi, komponen pemeringkatan atau penyusunan idea dan komponen penutup atau kesimpulan.

a.      Permulaan penerangan

Guru perlu mahir memulakan penerangan supaya ia dapat merangsang dan mengekalkan minat dan tumpuan pelajar kepada perkara – perkara yang hendak diterangkan kepada pelajar. Dalam hal ini, guru – guru perlu mempertimbangkan kesediaan pelajar dan kesesuaian isi pelajaran.Jika pendekatan deduktif dipilih, idea utama atau kata kunci yang digunakan hendak ringkas, jelas dan tepat.Permulaan setiap penerangan juga seharusnya dapat membayangkan struktur penerangan sebenar.

b.      Ilustrasi

Contoh – contoh dan ilustrasi yang diberikan oleh guru perlu mencukupi, sesuai dengan peringkat umur pelajar dan isi kandungan yang hendak diterangkan; menarik dan diuruskan dengan berkesan.Penggunaan bahan atau sumber perlu dapat merangsang minat dan membantu kefahaman pelajar.Seboleh – bolehnya, guru dapat menggalakkan kemahiran berfikir di kalangan pelajar.

c.       Pemeringkatan ataupun penyusunan idea.

penerangan berkenaan sesuatu idea atau isi utama perlu dibuat secara sistematik dan berperingkat – peringkat. Prinsip – prinsip pengajaran seperti daripada yang mudah kepada yang susah, daripada yang diketahui kepada yang belum diketahui, daripada yang konkrit kepada yang abstrak perlu dipatuhi.

Pemilihan isi pelajaran harus berdasarkan kepada kebolehan sedia ada murid.Isi yang dipilih hendaklah bersesuaian dengan kebolehan dan kematangan murid dan tahap pelajaran haruslah tidak terlalu tinggi atau terlalu rendah.Isi pelajaran yang terlalu tinggi arasnya tidak mudah difahami, manakala yang terlalu senang pula tidak mencabarkan mereka.Kedua – dua situasi ini akan membosankan murid, lalu menimbulkan situasi di mana masalah disiplin mudah timbul. Untuk mengelakkan keadaan seperti ini, isi pelajaran perlu dipilih dan dipertingkatkan dengan teliti supaya situasi pelajaran yang unggul diwujudkan. Isi pelajaran yang sesuai tidak saja menjamin pencapaian objektif pengajaran malah ia juga menimbulkan perasaan berjaya di kalangan murid – murid.

d.      Penutup atau kesimpulan.

Selepas menerangkan isi pelajaran, guru akan membuat kesimpulan dengan menegaskan isi – isi penting sebagai ringkasan kepada murid.

Kesan – kesan penggunaan kemahiran menerangkan ke atas pengajaran 

       I.            Pelajar – pelajar dapat memahami konsep atau isi pelajaran dengan lebih cepat, mudah dan tepat.

       II.            Pelajar juga dapat memahami sesuatu proses atau prosedur secara terperinci dan teratur.

       III.            Pelajar – pelajar dapat menumpukan perhatian terhadap aktiviti pengajaran guru jika penerangannya menarik dan bermakna.

      IV.            Contoh – contoh ilustrasi dan bahan mengajar bukan saja dapat merangsangkan pelbagai deria pelajar, tetapi juga memudahkan kefahaman konsep dengan tepat serta mengukuhkan apa yang diterangkan dalam ingatan mereka.

      V.            Masa aktiviti pengajaran guru dapat dijimatkan dan ini boleh digunakan untuk menambahkan aktiviti pembelajaran pelajar.


Kesimpulan

Kemahiran menerangkan yang dipraktikkan di dalam pengajaran mikro adalah bertujuan supaya guru – guru pelatih tidak kekok apabila berhadapan dengan situasi sebenar apabila berhadapan dengan murid. Untuk menjadikan pengalaman mengajar ini berkesan, guru pelatih haruslah bijak dalam menggunakan bahan bantu mengajar dan juga mempelbagaikan teknik atau kaedah pengajaran dan pembelajaran supaya penerangan yang dibuat akan mendapat maklum balas yang positif dari kalangan murid.

Penjagaan masa dan penggunaan bahasa juga harus diteliti dan dijaga objektif pengajaran dan pembelajaran dapat dicapai dengan mudah.Selain itu, guru juga boleh menggunakan kemahiran penyoalan untuk menguji minda pelajar sama ada mereka dapat menerima penerangan guru ataupun tidak.Melalui respon pelajar, guru boleh membuat kesimpulan hasil penerangan yang disampaikan.

Sekiranya penerangan guru mendapat respon negatif dari pelajar bermakna penerangan yang dibuat perlu diperbaiki lagi dan guru juga perlu menguasai teknik menerangkan dengan lebih mendalam dan haruslah pandai mempelbagaikan kaedah mengajar dan bahan bantu mengajar untuk menarik minat pelajar di dalam satu – satu subjek yang diajarkan.


 
 
   

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s